Islamic Lifestyle

7 TIPS UNTUK HIDUP SEBAGAI MUSLIM YANG BERJAYA

November 06, 2017 Unknown 0 Comments



Ramai umat Islam berimpian untuk mempunyai kehidupan yang berjaya, tetapi perkara ini lebih mudah disebut daripada dilakukan. Kadangkala perkara yang membantu kita untuk berjaya di dunia ini tidak semestinya akan membantu kita di akhirat. Di sini, kami kongsikan 7 tip untuk anda berjaya di kedua-dua dunia.

1. Solat dan Doa’

Solat adalah tiang agama. Jadi jagalah solat anda, tentu masa anda akan lebih terurus dan dengan solat, anda juga dapat memperolehi ketenangan yang konsisten setiap hari. Disamping itu, doa’ adalah aspek yang paling penting bagi seorang Muslim yang berjaya. Ia mempunyai keajaiban untuk menukar nasib anda ke arah yang lebih baik. Sentiasalah berdoa, dan meminta Allah tunjukkan kepada anda bagaimana untuk menjalani kehidupan yang berjaya dan juga menyenangkan-Nya. Di dalam doa’, jangan lupa untuk mendoakan ibu-bapa, ahli keluarga dan seluruh umat Islam, kerana hadiah terbaik yang anda boleh berikan kepada seseorang adalah Doa’.

2.Hubungan dengan Al-Quran

Al-Quran adalah panduan dan petunjuk bagi seluruh manusia untuk berjaya dalam kedua-dua dunia. Ia mempunyai jawapan untuk menangani setiap masalah yang dihadapi sepanjang hidup anda. Al-Quran tidak diturunkan hanya untuk dibaca dan diletakkan di suatu sudut seperti perhiasan sahaja. Ia perlu dikaji dan dianalisis untuk diadaptasikan ke dalam kehidupan seharian kita. Mintalah Allah untuk membantu anda memahami Al-Quran dengan betul dan dipermudahkan untuk melaksanakannya dalam kehidupan anda.

3. Membantu orang lain

Allah SWT memerintahkan kita untuk memberi khidmat kepada manusia tanpa mengira agama atau bangsa mereka. Membantu orang lain adalah perbuatan yang mendalam yang membolehkan kita memperoleh keredhaan Allah dan seterusnya dapat menjalani kehidupan yang berjaya. Allah sendiri telah berjanji untuk memberikan bimbingan dan ganjaran kepada mereka yang berusaha membantu orang lain yang ditimpa musibah dan bencana.

4. Menangani godaan nafsu

Setiap daripada kita memang mudah untuk tunduk kepada godaan nafsu kerana ia adalah sebahagian daripada kehendak diri kita sendiri. Jika tidak dikawal, akan menjurus kepada perbuatan yang berdosa. Tetapi, sesetengah daripada kita berjaya menguruskan nafsu dengan berkesan. Jadi kita haruslah berusaha sekeras mungkin untuk menentang godaan nafsu untuk mencapai matlamat untuk menjadi seorang Muslim yang berjaya.

5. Jaga persahabatan

Lihat di sekeliling anda, dan berhubunglah dengan umat Islam yang mendorong anda ke arah yang positif. Sekiranya anda serius untuk menjadi seorang Muslim yang berjaya, anda perlu sedar siapa yang anda sedang bersahabat, dan menilai bagaimana ia dapat membantu anda membentuk dan mempengaruhi kehidupan anda. Itu tidak bermakna anda perlu men “delete” sahabat-sahabat anda yang sedia ada, tetapi anda haruslah memilih dengan baik siapa yang lebih berhak dan luangkanlah lebih masa dengan orang yang boleh membantu anda untuk menjadi insan yang lebih baik.

6. Fokus pada Akhirat

Laksanakan semua perkara yang dilakukan di dunia ini semata-mata untuk hari Akhirat. Hidup satu hari pada satu masa dan jangan terlalu gusar tentang apa yang bakal berlaku esok. Hal ini mungkin mengambil sedikit masa untuk dijadikan kebiasaan. Tetapi jika dipraktikan secara berterusan, akhirnya ia akan menjadi lebih mudah bagi anda untuk meneruskan matlamat anda.

7. Jangan berputus asa

Sebaik sahaja anda membuat keputusan untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, jangan sekali-kali berputus asa kerana sudah tentu anda akan diuji dengan ujian sepanjang perjalanan itu. Pastikan anda menempuh perjalanan hidup anda dengan tabah sehingga anda tiba di destinasi kejayaan anda.


You Might Also Like

0 comments: